Bayi Akan Memperdengarkan Kepada Anda Apa Yang Biasa Didengarinya

By | 30/12/2013
Bismillah.
Sememangnya anak-anak kita akan fasih bercakap di dalam bahasa yang ditutur ibu bapanya atau penjaganya sehari-hari, sama ada di dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris – bergantung kepada kebiasaan di rumah keluarga anak itu. Bayi dan kanak-kanak amat mudah terpengaruh dengan persekitaran dan apa yang diterimanya dari sekelilingnya baik daripada ibu bapa, ahli keluarga, saudara-mara, jiran tetangga, televisyen mahupun alatan gadget yang biasa ditatap dan dimainkan di hadapan mereka. 
Contohnya, walaupun bahasa pertuturan anda sekeluarga di rumah merupakan bahasa Melayu, namun seandainya bayi anda seringkali mendengar dan melihat kartun di televisyen yang berbahasa Inggeris terutamanya lagu-lagu yang bertemakan Inggeris, adalah menjadi kebiasaan sekiranya bayi anda dengan mudahnya dapat meniru lagu-lagu yang didengarinya di televisyen mahupun pertuturan yang biasa diulang-ulang oleh kartun tersebut. 
Seandainya juga anda sering memperdengarkan anak-anak anda dengan bacaan suci ayat-ayat Al-Quran, setiap hari, siang dan malam, memang mudah sekali bagi anak anda untuk mengulang bacanya sendiri tanpa anda suruh. 
Saya dapat melihat kesan ini sendiri dengan jelas dalam diri anak saya apabila saya pernah mengajarnya mengikut saya membaca Surah Al-Ikhlas dari awal sampai akhir dalam beberapa kali sahaja dalam seminggu atau mungkin beberapa kali sahaja dalam dua minggu. Disebabkan saya pernah mengajarnya dalam bilangan hari yang banyak, walaupun bukannya berturut-turut, tiba-tiba saya dan suami pernah mendengar anak kami membaca surah Al-Ikhlas itu dengan sendirinya sewaktu sedang bermain berseorangan sementara saya dan suami sedang solat berjemaah di sebelahnya. Agaknya disebabkan anak kami itu mendengar Abinya membaca Surah Al-Fatihah di dalam sembahyang, maka dia pun cuba untuk mengikut sama membaca apa yang dia tahu dan terlintas di fikirannya pada waktu itu. Walaupun hanya dengan pelatnya dan tentulah tidak berapa betul bacaannya, namun keupayaannya untuk mengingat dari awal sampai akhir surah itu adalah sesuatu yang mengagumkan kami. Untuk pengetahuan, anak saya ketika itu baru sahaja berusia 2 tahun 5 bulan.
Bukannya anak saya genius atau dilahirkan bijak. Sebenarnya ibu bapanya lah yang berupaya mencorak anak-anak mereka, sama ada selalu dirangsang untuk mencuba dan mempelajari sesuatu atau dibiarkan sahaja mereka bermain sendirian tanpa hala tuju.
Yang penting adalah pengulangan dan kebiasaan yang anda dedahkan kepada bayi anda. Bayi dilahirkan dengan otak yang dapat berkembang dengan pesatnya pada awal usianya dan pada usia di antara 0-5 tahun merupakan masa yang paling sesuai untuk mereka mengingat, menghafal dan belajar bertutur. Janganlah ibu bapa melepaskan ‘golden years’ anak-anak mereka ini. Sebaliknya, berusahalah merangsang otak dan kemahiran bertutur bayi dengan komunikasi yang menyeronokkan dengan cara bermain dan lakukannya secara biasa dan berulang-ulang. Sekiranya anda inginkan anak-anak anda mudah menghafal Al-Quran juga, ajarilah mereka dengan cara yang menyeronokkan bagi mereka, contohnya ketika mereka berasa gembira dan telah kenyang dan cukup tidur, dalam keadaan tenang, seronok dan dalam mood yang baik untuk mencuba. Pasti anda akan dapat melihat kesan yang baik daripadanya. Selamat mencuba !

One thought on “Bayi Akan Memperdengarkan Kepada Anda Apa Yang Biasa Didengarinya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge