Menjadi WAHM Pada Usia 29 Tahun

By | 30/10/2013
Bismillah.
Sebenarnya saya tak pernah menyangka saya dapat menjadi seorang WAHM (Work-At-Home-Mom) seawal usia 29 tahun ini. Sememangnya telah lama saya impikannya. Namun untuk ia menjadi realiti, pelbagai perancangan perlu dilakukan. Setelah 5 tahun berpengalaman bekerja sebagai seorang Engineer dalam bidang Biomedical Engineering Design, saya mendapati bahawa kepuasan hidup saya bukannya di sana. Walaupun makan gaji dengan selesa, namun hati saya tidak tenteram kerana memikirkan yang saya kadangkala terpaksa pulang dari kerja pada waktu yang sangat lewat kerana perlu menyiapkan kerja-kerja yang penting. Saya telah pernah berfikir sedalam-dalamnya, sampai bilakah saya mahukan kehidupan kerjaya saya menjadi seperti ini? Dengan mengabaikan tanggungjawab saya yang sebenar sebagai seorang ibu dan isteri?
Apakah saya boleh berasa tenteram bila memikirkan saya kadangkala bekerja dengan culas apabila sering melakukan kerja-kerja peribadi saya di pejabat? Disebabkan saya bekerja di hadapan komputer dan seringkali mempunyai akses internet, maka saya tidak terlepas daripada selalu memeriksa inbox email peribadi pada waktu kerja. Walhal sebenarnya ia adalah salah. 
Sebelum saya meletakkan jawatan, saya telah berfikir sedalam-dalamnya dan turut berbincang dengan suami. Kami tekad untuk berserah kepada Allah mengenai rezeki. Dengan perletakan jawatan saya, saya dapat memberikan lebih fokus kepada perniagaan part-time saya dan homestay yang kami ingin usahakan. Alhamdulillah, setelah sebulan berhenti kerja, rumah homestay kami telah berjaya siap dan kami juga telah mulai menyewakannya. Kami amat berharap supaya Allah memurahkan rezeki kami. Apatah lagi mengurniakan kami rezeki yang sekali-kali tidak pernah kami sangkakan. Mudah-mudahan. 
Alhamdulillah juga, sebaik sahaja saya meletakkan jawatan pada akhir September 2013 yang lalu, saya juga telah disahkan hamil 6 minggu sebulan selepasnya. Walaupun mungkin rezeki makan gaji saya telah berakhir, mungkin inilah rezeki yang Allah ingin kurniakan kepada saya. Iaitu rezeki ketenangan, rezeki menjadi WAHM, rezeki homestay telah siap dan juga rezeki anak. Saya harap, saya tidak akan pernah menyesal dengan keputusan yang telah dibuat. Kerana sabda Nabi Muhammad S.A.W, tidak akan rasa dukacita bagi orang-orang yang menunaikan solat istikharah. Semoga dengan ini, ia menjadi titik-tolak kepada perubahan kerjaya saya daripada seorang Engineer menjadi seorang Peniaga Dari Rumah dan semoga Allah membuka jalan-jalan kejayaan buat saya dalam jalan yang telah saya pilih ini. Insya Allah, doakan saya ya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge