Entry Pengenalan Tentang Pemilik Blog dan Apa Yang Anda Bakal Perolehi Daripada Blog Ini.

By | 26/09/2013
Bismillahirrahmanirrahiim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.
Segala puji-pujian kepada Allah. Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Rasulullah S.A.W. Syukur Ya Allah di atas segala kurnian-Nya, yang memberikan saya nikmat yang paling besar, iaitu nyawa dan keimanan. Alhamdulillah. Masih lagi berupaya menghirup udara yang segar, mampu berjalan menuju ke destinasi walaupun dalam jarak yang paling dekat, masih mempunyai tempat kediaman untuk istirehat bersama suami dan anak, memiliki kenderaan untuk merantau dan bergerak, memiliki alatan dan gadget yang memudahkan urusan seharian, dan pelbagai lagi nikmat yang tak terhitung banyaknya jika cuba dikira. Alhamdulillah.
Lahirnya blog ini mempunyai sebab dan objektifnya. Lebih kurang dua bulan yang lalu, saya telah berbincang dengan suami, susulan daripada perbincangan-perbincangan di antara kami yang pernah berlaku sebelumnya. Saya telah berasa begitu tertekan di dalam pekerjaan saya. Perasaan yang saya telah rasai saban tahun bekerja di situ. Sungguh pelbagai perkara yang tidak menggembirakan hati nurani saya. Lebih-lebih lagi setelah berkahwin dan mempunyai anak, bekerja di situ menambahkan lagi sesak dan kesedihan. Terutamanya apabila saya terpaksa pulang lewat kerana perlu menyiapkan pelbagai kerja yang urgent. Sungguh meronta-ronta jiwa saya untuk berlepas dari situ. Berlepas dari kerja makan gaji. Berlepas dari memperoleh rezeki yang tidak 100% suci dari rezeki yang haram. Teringat akan waktu-waktu bersembang melalui Skype, MSN Messenger dan Yahoo Messenger dengan rakan sekerja dan rakan peribadi. Teringat akan waktu-waktu saya memeriksa email peribadi dengan PC di workstation. Teringat akan waktu-waktu saya menunaikan solat fardhu Zuhur dan Asar yang tidak diganti waktunya. Teringat akan waktu lunch hour yang saya lebihi dari kadar masa yang ditetapkan lantaran tiada badan disiplin yang kisah untuk menegur. Hanya kesedaran sendiri dan keimanan yang mampu memelihara diri dari memakan masa bekerja dengan aktiviti-aktiviti peribadi yang tidak sepatutnya.
Itu hanyalah secebis daripada kegelisahan yang melanda. Sebenarnya, terlalu banyak faktor lain yang mempengaruhi keputusan saya untuk berhenti bekerja dan berubah untuk menjadi Work-At-Home-Mom (WAHM). Saya telah banyak berbincang dan mengadu kepada suami. Begitu juga dalam solat saya, hanya Allah tempat untuk saya meluahkan segala kesedihan dan kesukaran yang saya lalui. Suami hanya mampu mendengar dan memberikan cadangan dan menyuruh saya bersabar, tetapi apabila kita mengadu kepada Allah, hati terus berasa yakin bahawa Allah bukan sahaja mendengar, tetapi akan menyelesaikan segala masalah yang kita alami.
Telah lama saya ingin meletakkan jawatan. Sangat lama. Bertahun-tahun. Tetapi selalu saya tangguhkan hingga sampai masa yang paling tepat untuk saya berhenti. Pada bulan Ramadhan 2013 yang lalu, saya banyakkan berdoa dan memohon, melakukan solat Istikharah memohon petunjuk dari-Nya. Dan setelah suatu hari yang hening dan sedih pada bulan Ramadhan yang lalu itu, seusai solat Istikharah yang saya tunaikan selepas Zuhur di surau tempat kerja, telah terdetik di hati saya, jangan tender resignation lagi pada hari ini. Walaupun pada paginya saya telah berkobar-kobar ingin menulis surat perletakan jawatan. 
Sehinggalah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, tahun 2013. Sekembalinya saya ke pejabat, yakni sepulangannya saya dari cuti raya yang tak berapa panjang, saya telah tekad untuk mengarang surat perletakan jawatan saya. Dan dengan diam-diam tanpa pengetahuan rakan-rakan, saya menyerahkannya kepada Ketua saya. Pada hari tu saya sangat tekad. Sebelum sampai ke tempat kerja, saya telah memohon izin kepada suami, untuk saya memohon perletakan jawatan pada hari tu. Suami yang telah sekian lama memahami keadaan serta pendirian saya, mengizinkan tanpa banyak soal kerana suami telah lama memahami apa yang berlaku. Akhirnya dengan rasa gementar, saya telah menyerahkan surat perletakan jawatan saya dengan riak terkejut dari wajah Ketua. Benar, 5 tahun bekerja di situ, tentunya tidak mengundang sebarang rasa yang saya akan berhenti secara tiba-tiba. Mungkin orang menyangkakan yang saya telah selesa dan ingin berada lebih lama di situ. Tentunya mereka silap. Setelah menyerahkan surat tersebut, lega di hati usah diceritakan. Syukur Alhamdulillah saya berasa begitu tenang dan amat gembira dengan keputusan tersebut. Kini, hanya kepada Allah tempatku berserah. Rezekiku hanya di dalam ketentuan-Nya. Semoga akan ada sinar yang cemerlang di hadapanku kelak.
Sekarang, notis 6 minggu telah pun berlalu. Hari ini merupakan hari kedua saya sebagai seorang ibu dan isteri yang bekerja sendiri. Namun masih belum mampu untuk menjadi work-at-home-mom sambil menjaga anak di rumah. Segala fokus perlu saya berikan untuk memulakan perniagaan dengan lebih terperinci. Perniagaan yang telah saya bina sejak setahun yang lalu, diiringi dorongan suami untuk terus set-up bisnes online ini. Saya juga tidak pasti, sama ada saya akan tetap terus menjadi ibu bekerja dari rumah, ataupun mungkin masih ada rezeki untuk saya dalam bidang pekerjaan makan gaji. 
Walau bagaimanapun ketentuan-Nya pada masa hadapa, Insya-Allah, saya tekad dan serius ingin memajukan bisnes saya ini, menyebarkan kesedaran kepada ibu-ibu muda atau ibu-ibu senior tentang pendidikan dan pembacaan awal dalam dunia kanak-kanak, rangsangan yang perlu mereka berikan sejak anak mereka berumur bayi, dan didikan awal dalam Al-Quran kepada anak-anak. Ini tidak saya lakukan tanpa sebarang pengalaman saya sendiri, kerana bayi saya telah pandai menyebut kesemua huruf-huruf Hijaiyyah Alif hingga Ya sejak berumur 1 tahun 7 bulan. Kemudian fasih menyebut angka-angka 1-10 dan mengiranya pada objek-objek yang dilihat sebelum berusia 2 tahun. 
Kini saya dan suami ingin berusaha supaya bayi kami mampu menghafal surah-surah mudah, bermula dengan ucapan Bismillahirrahmanirrahim yang sudah mampu disebutnya sendiri pada usia 2 tahun 2 bulan kini. Kami tidak mengajar dalam tempoh yang singkat. Dan kami tidak mampu mengajar bayi kami tanpa sebarang alat bantuan, dalam keadaan kami berdua yang berkerjaya pada siang hari dan pulang ke rumah pada lewat malam (selalunya waktu Isyak). Disebabkan kesibukan dan kekangan masa kami untuk meluangkan masa bersama anak, pelbagai alat bantuan pendidikan yang telah kami gunakan bagi membantu mendidik bayi kami. Insya Allah, saya akan cuba untuk berkongsi pengalaman saya mendidik bayi kami sehingga menjadi anak yang mudah mengingat apa yang diajar. Semoga ramai orang yang akan memperoleh manfaat daripada penulisan saya.

Ameen.. Ya Rabbi. Semoga Allah mengiringi langkah-langkah ini…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge