Surat untuk ‘Adik-adik Gadis Melayu Kpop’ku

By | 12/01/2015
Teks : Wan Syahida Kahar
Bismillah..
Assalamualaikum para pembaca saya yang budiman. Kecoh sekarang isu viral Kpop yang tersebar melalui media Malaysia dan telah mendapat perhatian daripada netizens di Malaysia termasuk penganjur dan badan kerajaan. Ramai yang mengkritik adegan-adegan tersebut yang melibatkan anak-anak gadis muda berbangsa Melayu bertudung yang merelakan diri mereka dipeluk dan dicium oleh artis Kpop di atas pentas sewaktu konsert mereka baru-baru ini. Anak-anak muda Melayu ber’title’ gadis itu pula, bagaikan nak tergila-gila bila dipeluk dan dicium artis kegilaan mereka tu. 
Saya fikir, artis-artis Kpop memang tidak bersalah dalam hal ini kerana mereka tidak tahu tentang halal haram dalam agama Islam dan tatasusila adab orang Melayu yang menganggap adegan-adegan sebegitu langsung tidak bersopan, apatah lagi apabila dilakukan di khalayak ramai sebegitu. Benar, adegan ini malah sikap sebegini hanya menconteng arang di wajah orang Melayu, mencalar nama baik agama Islam yang suci memelihara kaum wanita dan amat menjatuhkan maruah anak-anak muda gadis Melayu bertudung yang sepatutnya dipelihara kesucian dan kehormatan diri mereka. 
Saya berasa.. sangat-sangat sedih, kesal, malu serta kasihan sangat. Salah kita juga kah kerana tidak sampai dakwah dan islah kita kepada adik-adik ini? Mohon kita semua golongan masyarakat juga sedar diri akan tanggungjawab kita untuk MENCEGAH yang MUNGKAR serta MENGAJAK ke arah KEBAIKAN. Benar, sebenarnya banyak lagi tugasan kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini yang tidak tertunai. Nasihat kita tak begitu sampai, akhlak anak-anak muda masih teruk dan macam-macam lagi gejala buruk yang makin berleluasa. Sekarang aksi dan adegan ini pula…  Sangat mengundang kesal kita. Andainya Rasulullah s.a.w. masih ada dan melihat perkara ini, tentunya BAGINDA akan terus MENANGIS…
Sedikit coretan daripada saya sebagai seorang kakak kepada adik-adik yang meminati Kpop… terutamanya yang dalam gambar-gambar dan video tu… Moga menjadi iktibar dan nasihat berguna.
Alahai adik-adik gadisku… Nasihat saya sebagai seorang kakak yang pernah melalui zaman keremajaan sepertimu, dengan fikiran yang masih belum sampai tahap kematangannya, dengan ilmu yang belum lagi sarat di dada dan dengan banyak lagi cabaran dunia yang belum lagi dikecapi atau diterokaimu, nasihat kakak, BANGKITLAH dan SEDARLAH… Memang saya faham akan kegilaanmu meminati Kpop, kerana saya sewaktu muda dan mentah dahulu (sekitar umur 12-15 tahun), amat meminati band boys yang popular ketika itu. Semua hanya kerana lirik lagu mereka yang best, tarian yang best dan rupa paras yang hensem dan cute membuatkan budak-budak sebaya sewaktu tu memang amat menggila-gilakan mereka. Wang banyak dihabiskan untuk membeli majalah-majalah yang memaparkan muka mereka sebagai cover magazine. Video, VCD, DVD, merchandise dan macam-macam bahan cetak lagi sanggup dibeli. Lagu-lagu mereka diulang dengar banyak kali kerana begitu meminatinya. Dan adik-adikku, apakah yang saya dapat daripada meminati semua itu? Hanya keseronokan yang sementara semata-mata. Ke mana ia membawaku melainkan hanya kelalaian dan pembaziran masa, tenaga, wang serta perasaan? Saya meminatinya tidak begitu lama. Mungkin kerana kesibukan menelaah untuk peperiksaan PMR membuatkan saya melupakannya sekejap. Mujurlah saya tidak begitu hanyut dengan semua tu begitu lama dan saya mendapat cahaya hidayah tak lama selepas itu selepas saya berjaya mendapat keputusan cemerlang dan memasuki sekolah berasrama MRSM.

Ya saya faham akan hormon perempuan yang bergejolak meminati seseorang artis pada usia muda seperti itu. Tapi adikku, semua itu kamu akan lupakan suatu hari nanti. Semua ini akan kamu kenang sebagai kisah silam yang membuang masa. Kamu akan rasakan kenapa lah aku layan semua ni masa zaman muda-muda dulu? Akan tiba masanya semua ni kamu akan lupa dek kerana banyak lagi pekerjaan yang lebih penting yang perlu kita buat dalam dunia ni untuk menjadi khalifah Allah. Pesan saya sebagai seorang kakak, banyakkan lah bacaan dan tuntutlah ilmu. Hargailah masa muda kamu. Hormatilah diri kamu yang amat berharga. Jagalah maruahmu sebagai wanita Muslim. Jagalah peribadimu yang bakal menjadi seorang wanita, isteri dan ibu. Sampai ketikanya, kamu pasti akan menyedarinya. Pada usia muda ini, dekatkanlah diri dengan kawan-kawan yang dapat membawamu ke arah kebaikan dan cahaya hidayahNya. Adikku, banyakkanlah rapatkan diri dengan Tuhan pencipta alam. Usah bazirkan masamu yang berharga emas itu. Tatkala usia kamu menjengah dewasa, masa remajamu takkan dapat diputar semula dan kamu akan menyesal. Percayalah kata-kata kakak ini dan juga pesanan abang-abang yang lebih tua darimu. 

Bukanlah berhibur itu dilarang sama sekali tapi jagalah batasannya. Saya fikir, dan begitu juga yang lain turut sama menganggap bahawa perbuatan adik-adik ini dah melampaui batas apabila merelakan diri dipeluk dan dicium artis Kpop. Sekarang, perkara yang dah berlalu biarlah berlalu. Benda yang dah terjadi tak boleh diubah lagi. Tapi adik-adik masih sempat untuk berubah dan bertaubat menyesali perbuatan adik-adik. Slowly fikirkan tentang kesan-kesan perbuatan adik dan apa yang terjadi sekarang. Berbaloikah semua itu dik? Apa yang adik-adik dapat daripada keseronokan yang sementara tu? Nasihat kakak dan abang-abang, cuba fikir sejenak dan fikirkan ibu bapa yang susah payah membesarkan adik-adik agar membesar menjadi anak-anak yang berjaya dan cemerlang dalam pelajaran dan dalam kehidupan. Kasihan pada ibu bapa kita dik.. Kalau kita tak jaga perilaku kita, aranglah yang kita sedang conteng ke atas wajah mereka dik…

Last but not least, adik-adikku, please make yourselves ‘exclusively’ for your husbands later. Mahalkan dirimu dik supaya kamu juga akan mendapat lelaki yang mahal menjaga diri mereka daripada melayan wanita-wanita yang bukan isteri mereka. Kalau kamu sendiri tak angkat darjatmu sebagai wanita mulia, siapa lagi yang boleh mengangkatnya? Jadi sedarlah adik-adik akan kehormatan dirimu… Jangan dibiarkan lagi lelaki lain mengambil hakmu lagi. Jangan disengajakan lagi dan jangan memalukan diri sendiri lagi. Hargai diri dan maruahmu sebagai seorang wanita walau sehensem mana pun dia atau sedalam mana pun minat kamu kepada lelaki-lelaki itu. Selagi lelaki itu bukan mempunyai hak ke atas kamu sebagai suami, maka kamu tidak boleh membenarkannya melakukan apa yang mereka kehendaki ke atas kamu. Ingatlah dik, dirimu dan maruahmu begitu berharga… Bagaikan permata di dasar lautan. Sangat terpelihara dan terjaga. Jangan dirosakkannya. Pelihara kesuciannya dengan sebaiknya.
Sekian kata-kata saya.. Kalau ada yang terguris hati, maafkan saya.. Ini semua hanya nasihat dan pesanan ikhlas daripada seorang wanita Muslim yang lain yang berasa sangat sedih dan kecewa dengan isu dipeluk cium artis Kpop ini. Adik-adik yang membaca dan yang mungkin tak terlibat sekali pun, ambil semua pesanan ini baik-baik juga, dan berhati-hati agar tidak terjerumus dalam keseronokan dan kelalaian yang sama seperti ini. Hidup kita hanya sekali. Manfaatkanlah ia dengan sebaiknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge