Bismillah…
Seiring dengan peredaran zaman. gadget dan penggunaannya menjadi sesuatu yang semakin trend. Tak kira yang dewasa atau yang muda, pasti sering teruja dengan kecanggihan penggunaan gadget bukan setakat kerana kemudahannya dan aplikasinya yang memudahkan urusan seharian kita dalam bersosial dan berurusan, malah kerana seronok dengan permainan yang terdapat di dalam gadget atau smartphone.
Tak dapat disangkal akan kebaikan yang dibawa gadget dalam urusan komunikasi, bisnes atau pendidikan. Tapi tak dapat disangkal juga akan keburukan yang dibawanya sekiranya digunakan secara berlebihan. Baik kepada orang dewasa mahupun kanak-kanak.
Kesan-kesan negatif gadget terhadap anak-anak
Bagi kanak-kanak, penggunaan gadget yang berlebihan ini dapat membawa kepada sikap ketagih terhadap penggunaan gadget sehinggakan menjadi terlalu terleka dan mengabaikan tanggungjawab lain untuk mengulangkaji pelajaran, mengemas rumah, membaca buku, berkomunikasi secara fizikal dengan ibu bapa atau saudara-mara, malah malas untuk menunaikan solat lebih-lebih lagi pada awal waktunya.
Penggunaan gadget yang berlebihan juga membawa keruntuhan kemahiran berkomunikasi dalam diri kanak-kanak dan kurangnya kemahiran bersosial dengan orang-orang di sekitar. Malah keyakinan diri mereka mungkin boleh menurun dan ciri-ciri keterampilan diri tidak dapat dibina. Mereka akan menjadi lebih pemalu untuk berdepan dengan orang kerana telah terbiasa berhubung dengan orang lain melalui alam maya sahaja. Alangkah ruginya masa kanak-kanak ini daripada tumbesaran yang sihat dan normal dengan alam sekitar sekiranya masanya hanya banyak dihabiskan dengan bermain gadget.
Tidak cukup dengan itu, penggunaan gadget dengan berlebihan dapat membunuh minat anak-anak ini daripada meminati membaca buku-buku atau bahan-bahan bacaan yang berilmiah seperti suratkhabar, ensiklopedia, buku-buku pelajaran, majalah ilmiah, ilmu-ilmu agama atau lain-lain risalah yang membabitkan ilmu. Seringkali tatkala mereka ingin mengulangkaji pelajaran, sekali-sekala tentu mereka akan sentiasa membuka smartphone atau gadget mereka dan ini menyebabkan fokus mereka mudah hilang.
Penggunaan gadget yang berlebihan juga berisiko sekiranya anak-anak tidak bijak dalam menyembunyikan fakta atau maklumat tentang diri mereka atau maklumat peribadi keluarga daripada diketahui pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang berniat untuk menipu dan mencari mangsa untuk dianiayai. Anak-anak yang masih mentah dan mudah untuk terikut-ikut tanpa berfikir akan kesan negatif yang mungkin dibawa, boleh membinasakan diri mereka kelak seandainya terpedaya dengan taktik menipu pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini.
Peranan Ibu Bapa atau Penjaga
Walaupun demikian, tidak dapat disangkal juga akan ciri-ciri positif yang terdapat di dalam gadget ini kepada anak-anak seandainya mereka gunakan dengan cara yang betul dan menggunakan aplikasi yang benar-benar memberi manfaat kepada mereka.
Sebagai contoh, di dalam gadget terdapat pelbagai aplikasi pendidikan yang menarik dan memang direka untuk membina dan merangsang IQ kanak-kanak. Aplikasi pendidikan yang berbentuk permainan dan menarik ini boleh membantu anak-anak mengisi masa lapang dengan baik kerana permainan-permainan ini boleh mengasah minda anak-anak dan menambahkan pengetahuan mereka.
Yang penting, ibu bapa sentiasa perlu hadir di sisi anak-anak ketika bermain gadget dan sentiasa mengawal apa yang dilakukan anak-anak mereka. Apabila tibanya waktu untuk menunaikan solat atau mengulangkaji pelajaran, tanggungjawab ibu bapa untuk berlaku tegas terhadap anak-anak dan sekaligus memandu anak-anak tentang cara-cara menggunakan gadget dengan betul.
Hal ini adalah penting kerana anak-anak ini tidak dapat disekat terus daripada penggunaan gadget, dibimbangi mereka akan bertindak memberontak atau membenci ibu bapa mereka, atau mereka akan sentiasa ingin mengganggu rakan-rakan lain mereka yang memiliki gadget, malah lebih membimbangkan sekiranya mereka bertindak mencuri gadget orang lain hanya kerana terlalu ingin memiliki gadget. Sekurang-kurangnya, peluang yang diberikan ibu bapa dengan membelikan sebuah gadget kepada anak-anak, dapat mengurangkan kemurungan mereka dan sebaliknya menambahkan kesukaan dan kasih sayang mereka terhadap ibu bapa dan meningkatkan semangat mereka untuk belajar. Namun, ibu bapa perlu letakkan syarat supaya gadget itu hanya digunakan pada waktu yang sesuai dan tidak membawa apa-apa pergaduhan.
Dan yang paling penting, solat tetap perlu diutamakan walaupun sedang seronok bermain gadget!