Cara-cara Melakukan Solat Sunat Gerhana Bulan

By | 02/02/2018

Hai Assalamualaikum ! Malam semalam berlaku Gerhana Bulan. Ada sesiapa yang tengok? Saya tak dapat nak keluar rumah atau jenguk ke langit. Sibuk jaga baby. Suami pula pergi surau. Kat surau, rakan-rakan qariah sama-sama laksanakan solat sunat gerhana right after Isyak. Dan memandangkan saya masih lagi sedang berpantang, saya takde rezeki nak laksanakan solat sunat gerhana tu sekali.

Tapi saya happy sebab berkesempatan untuk tengok fenomena gerhana bulan ni walaupun hanya melalui LIVE di Facebook yang dipaparkan oleh pihak NASA. Teleskop diorang fuh memang power. Dapat tengok bulan yang sangat cantik dan sempurna kejadiannya.

Lihat videonya di sini :

Kejadian gerhana bulan pada 31 Januari 2018

Kejadian gerhana bulan pada 31 Januari 2018 seperti yang dirakam dalam video NASA.

Fenomena Gerhana Bulan : Super Blue Blood Moon

Untuk fenomena kejadian gerhana bulan ini, ada 3 fenomena yang berlaku serentak. Sebab tu ia dinamakan Super Blue Blood Moon.

Gerhana Bulan : Super Blue Blood Moon

Gerhana Bulan : Super Blue Blood Moon

Gerhana Bulan : Blue Moon

Dipanggil BLUE MOON kerana dalam jangka masa sebulan ini saja telah berlaku 2 kali bulan penuh. Kan selalu setiap bulan hanya sekali saja bulan penuh. Tapi pada bulan Januari 2018 ni, berlaku 2 kali bulan penuh iaitu kali pertama pada awal bulan, kali kedua pada 31 Januari ini.

Gerhana Bulan : Super Moon

Dipanggil SUPERMOON pula kerana pada masa ini, bulan berada pada kedudukan yang sangat hampir dengan bumi, membuatkan ia nampak 30 % lebih besar dan 14 % lebih terang daripada biasa.

Gerhana Bulan : Blood Moon

BLOOD MOON pula merujuk kepada gerhana bulan penuh yang berlaku pada malam semalam. Gerhana bulan penuh berlaku apabila kedudukan bumi akan terletak tepat di antara bulan dan matahari dan akan menghasilkan cahaya merah pada bulan.

Fenomena yang jarang sekali berlaku kerana kali terakhir ia berlaku adalah pada 150 tahun yang lepas. Wallahua’lam.

Solat Sunat Gerhana

Kejadian gerhana bulan membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah

Kejadian gerhana bulan membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah

Kenapa kita perlu Sujud dan Tasbih ketika berlakunya gerhana bulan ?

1) Manifestasi bulan dan matahari yang sentiasa tunduk dan taat kepada Allah.

Sedangkan alam juga sentiasa bertasbih kepada Allah, sepatutnya kita juga bersujud apabila diperlihatkan dengan kebesaran Allah.

وَمِنْ ءَايَٰتِهِ ٱلَّيْلُ وَٱلنَّهَارُ وَٱلشَّمْسُ وَٱلْقَمَرُ ۚ لَا تَسْجُدُوا۟ لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَٱسْجُدُوا۟ لِلَّهِ ٱلَّذِى خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ (٣٧)

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Jangan bersujud kepada matahari mahupun bulan, tapi bersujudlah pada Allah Yang menciptakannya, Jika benar kamu hanya beribadat pada Nya.” (QS. Al Fushilat 41:37)

Bulan dan Matahari beredar mengikut kadar yang telah Allah tetapkan, tidak pernah cepat atau terlambat. Betapa mahluk ini patuh taat pada perintah Allah.

Yang selalu ingkar ni memang dari kalangan manusia dan jin. Moga kita tidak tergolong dari kalangan mereka yang derhaka pada Allah.

2) Gerhana dan Sunnah Nabi Muhammad saw

Ketika Nabi kehilangan Ibrahim, kebetulan berlaku Gerhana Matahari.

Lalu ada yang mengaitkan kematian Ibrahim dengan gerhana.

Tapi hadith Nabi saw menegaskan bahawa kejadian alam tiada kaitan dengan kematian atau kehidupan manusia

Nabi Muhammad walaupun sedih dengan kematian anaknya tetap taat melakukan solat gerhana dan tertasbih pada Allah.

Untuk wanita yang uzur boleh banyakkan sedekah dan istighfar sepanjang berlakunya gerhana nanti.

3) Gerhana dan Kiamat

Kejadian gerhana memberi gambaran bahawa kiamat itu PASTI!

Alam ini adalah mahluk yang patuh pada Penciptanya.

Mereka hanya menunggu arahan dari Tuhan mereka untuk bertindak,

seperti yang digambarkan dalam surah al Inshiqaq:

إِذَا السَّمَاءُ انْشَقَّتْ (١
“Apabila langit terbelah”

وَأَذِنَتْ لِرَبِّهَا وَحُقَّتْ (٢
“Dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya patuh”

وَإِذَا الأرْضُ مُدَّتْ (٣
“dan apabila bumi diratakan”

4) وَأَلْقَتْ مَا فِيهَا وَتَخَلَّتْ
“dan memuntahkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong”

وَأَذِنَتْ لِرَبِّهَا وَحُقَّتْ (٥

“dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya patuh”

Dalam ayat 1-5 dalam surah Inshiqaq,

digambarkan bahawa langit sudah lama ingin terbelah,

dan bumi sudah lama ingin memuntahkan isi kandungannya apabila melihat manusia mensyirikkan Tuhan mereka.

Tetapi Allah menahan langit dan bumi dari terbelah dan muntah kerana BELUM SAMPAI WAKTUNYA.

Maka pada suatu hari nanti semua ini akan PASTI berlaku dengan izin Allah.

Kejadian gerhana sepatutnya menguatkan iman kita bahawa kiamat pasti akan berlaku.

Semoga kita memanfaatkan kejadian gerhana dengan amal ibadat kepada Allah.

Jika diizinkan melihat gerhana maka ucapkan:

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
“Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.

(Ali Imran: 191)

Cara-cara Solat Sunat Gerhana

Kaedah melakukan solat sunat gerhana

Kaedah melakukan solat sunat gerhana

2 rakaat, setiap rakaat 2 ruku’, serta dipanjangkan bacaan, serta dipanjangkan ruku’ dan sujud.

Rakaat pertama:
– Takbir.
– Baca al-Fatihah, kemudian baca surah panjang.
– Ruku’ lama.
– Bangun i’tidal (سمع الله لمن حمده…).
– Baca al-Fatihah, kemudian baca panjang yang kurang sedikit dari yang sebelum.
– Ruku’ lama, namun tidak selama ruku’ sebelum.
– Bangun i’tidal (سمع الله لمن حمده…).
– Sujud lama 2x (macam biasa, diselangi duduk antara dua sujud).
– Bangun berdiri untuk rakaat kedua.

Rakaat kedua:
– Sama seperti rakaat pertama.
– Diakhiri dengan tasyahhud dan salam.

Faedah Tambahan:

1. Solat gerhana hukumnya sunat yang sangat dituntut (sunnah muakkadah).

2. Dituntut menunaikan solat gerhana ketika melihat proses gerhana sudah berlaku.

3. Sunnah melakukan seruan: “الصلاة جامعة!” (mari solat berjemaah!) memanggil orang ramai bersolat.

4. Keluar menunaikan solat dalam keadaan takut akan kekuasaan Allah atau hari Kiamat.

5. Dahulukan solat fardu jika bertembung waktu.

6. Jika makmum sampai masjid dan solat bersama jemaah dengan niat solat fardu, kemudian mendapati imam rupanya sedang melakukan solat gerhana, makmum perlu mufaraqah (keluar jemaah) kerana sifat (tatacara) solat yang berbeza. Setelah selesai solat fardu, boleh “join” bersama jemaah solat gerhana.

7. Imam disunatkan membaca secara kuat (jahr) berdasarkan hadis riwayat al-Bukhariy, namun boleh juga dibaca perlahan (sirr).
Jika imam membaca panjang, digalakkan membaca secara kuat supaya makmum dibelakang dapat mengikuti.

8. Sebelum solat imam digalakkan untuk memberi taklimat kepada makmum tentang ringksan kaifiat solat gerhana yang akan mereka lakukan, kerana dikhuatiri menimbulkan kekeliruan disebabkan ramai masyarakat yang tidak mengetahui perihal solat gerhana ini.

9. Sunnah membaca surah panjang, sekaligus memanjangkan solat sehingga habis gerhana. Imam boleh menganggarkan berdasarkan ramalan pihak berautoriti.

Namun imam perlu meraikan suasana zaman kini yang ramai masyarakat yang jahil dan lemah iman serta tidak mampu bertahan lama dalam solat.

10. Jika tidak membaca surah selepas bacaan al-Fatihah atau terlupa baca, solat tetap sah.

11. Jika makmum terlewat datang, lalu terlepas ruku’ pertama pada mana-mana rakaat, maka dia telah terlepas rakaat tersebut. Maka perlu bangun selepas imam salam menggantikan rakaat yang terlepas, iaitu 1 rakaat ganti mengandungi 2 ruku’ (Dianggap 1 rakaat hanya jika sempat 2 ruku’ pada rakaat tersebut).

12. Digalakkan imam memberi khutbah selepas solat yang mengandungi peringatan supaya manusia kembali dan takut kepada Allah dan hari akhirat.

13. Jika masih ada masa terluang selepas tamat solat dan khutbah, digalakkan untuk terus berzikir mengingati Allah, beristighfar dan berdoa sehingga tamat gerhana.

14. Manakala jika sedang solat, gerhana pun berlalu pergi, maka hendaklah disempurnakan segera solat gerhana tersebut secara ringkas.

15. Solat gerhana lebih mulia dilaksanakan berjemaah di masjid, namun jika seseorang itu solat bersendirian, ia tetap sah.

16. Boleh bagi mana-mana wanita yang ingin menunaikan solat gerhana di masjid, dengan syarat mematuhi garis panduan syarak.

17. Jika gerhana telah berlalu, tamatlah waktu solat gerhana.

18. Disunatkan ketika gerhana untuk memperbanyakkan doa berlindung dari azab kubur, takbir dan sedekah.

ANTARA HADIS BERKAITAN SOLAT GERHANA:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا قَالَتْ: خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ، فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ، ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ، ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ، ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ، ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ، ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الْأُولَى، ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ، فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ
مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا، ثُمَّ قَالَ: يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ! وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ، يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ! وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا!

Dari ‘Aisyah RA berkata: “Pada masa Rasulullah SAW, telah terjadi gerhana matahari. Kemudian Rasulullah SAW solat bersama masyarakat. Dalam solat, Nabi SAW berdiri dengan sangat lama.

Kemudian ruku’ yang sangat lama juga.

Kemudian baginda kembali berdiri lama, tapi lebih singkat dari berdiri yang pertama.

Lalu baginda ruku’ lagi dengan lama, tapi lebih singkat dari ruku’ yang pertama.

Setelah itu, Nabi sujud dengan sangat lama.

Baginda melakukan hal yang sama pada rakaat kedua.

Setelah solat, matahari telah kembali tampak jelas.

Setelah itu Nabi menyampaikan khutbah yang dimulai dengan memuji dan meuliakan Allah. Baginda pun bersabda: Matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Dua gerhana tersebut muncul bukan kerana kematian atau kelahiran seseorang. Jika kalian melihatnya, maka berzikirlah kepada Allah, bertakbirlah, solatlah, dan bersedekahlah!

Nabi melanjutkan peringatannya: Wahai umat Muhammad! Demi Allah, tidak ada yang lebih cemburu daripada Allah terhadap hamba-Nya yang berzina. Wahai umat Muhammad! Demi Allah, jika kalian mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kalian pasti akan sedikit tertawa dan banyak menangis!” [riwayat al-Bukhariy].

Dalam riwayat lain: “Kemudian Nabi memerintahkan para sahabat untuk berlindung kepada Allah dari seksa kubur” [riwayat al-Bukhariy].

Dalam riwayat lain: “Jika kalian melihat gerhana, segeralah berzikir, berdoa, dan meminta pengampunan-Nya” [riwayat al-Bukhariy].

Dalam riwayat lain: “Nabi berdiri sangat lama kira-kira seperti membaca surah al-Baqarah” [riwayat al-Bukhariy].

Dalam riwayat lain: “Aisyah berkata: Aku belum pernah sujud dalam solat lebih lama dari ia (ketika solat gerhana bersama Nabi SAW)” [riwayat al-Bukhariy].

Kejadian gerhana bulan seperti yang dilihat pada hari kejadian

Kejadian gerhana bulan seperti yang dilihat pada hari kejadian

Renungan

Segala ciptaan Allah, Allah cipta untuk manusia berfikir.

Dan kenapa agaknya Allah perintahkan kita laksanakan Solat Sunat Gerhana ?

(Sunat Muakkad – ibadah sunat yang sangat dituntut)

Selain daripada memuji kehebatan Allah sebagai pencipta Fenomena Gerhana ni,

Allah nak ingatkan kita bahawa yang patut disembah adalah Allah..

Bukannya bulan, bukannya matahari, bukannya kejadian luar biasa dan bukannya ciptaanNya..

Tapi hanya Allah yang paling hebat, paling bijaksana, paling berkuasa, paling layak dipuji… dan paling layak disembah..

Bila tengok bulan yang cantik malam ni, terasa hebatnya & sempurnanya apa yang Allah cipta.

Perfect calculation.

Perfect size.

Perfect timing.

Perfect shape.

Perfect order.

Such an amazing phenomenon!

Penutup

Semoga kita sentiasa beringat bahawa kita hanyalah hambaNYA yang tak ada apa-apa. Sebelum kita bersifat bongkak dan riak, sedarlah balik Allah yang Maha Besar dan Berkuasa lebih daripada segala-galanya.

Kalau dah ciptaanNYA pun dah sangat hebat dan sempurna, tentulah Penciptanya lah yang terhebat dan paling sempurna.

3 thoughts on “Cara-cara Melakukan Solat Sunat Gerhana Bulan

    1. syahida Post author

      Sama-sama. Oh ya ke kena kerja. Ada qariah lain yang buat so dah terlepas kewajipan utk tu ☺️

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge