Anak-anak Sebenarnya Boleh Menghafal Sejak Kecil

By | 24/12/2013

Bismillah.

Bayi dan kanak-kanak sebenarnya adalah sangat bijak. Mereka sangat mudah menyerap segala apa yang diajarkan kepada mereka. Asal saja setiap sesuatu itu diajarkan secara berulang-ulang, pasti anak akan dengan mudahnya memaparkannya di hadapan anda semula.

Di atas konsep anak-anak ini yang bersifat ibarat ‘span’, saya dan suami kerapkali mengajar anak kami membaca doa-doa setiap kali sebelum membuat sesuatu seperti doa makan, doa sebelum masuk tandas, doa sebelum tidur, ucapan Bismillah dan Alhamdulillah dan lain-lain sejak umur anak kami sangat kecil lagi.

Kami mulakan sejak umur anak kami setahun lebih iaitu apabila sudah mula pandai meniru percakapan orang lain. Hasilnya apabila umur anak kami dua tahun satu bulan, dia sudah pun pandai membaca doa makan dengan sendirinya. Kami hanya perlu mengingatkannya untuk membaca setiap kali sebelum ingin menjamah sesuatu makanan mahupun meminum minuman.

Kini anak kami sudah semakin lancar membaca doa makan dengan sendirinya walaupun baru berumur dua tahun empat bulan. Sambil itu, kami mengajarkannya juga doa memasuki tandas dan dia juga mudah mengingatinya asalkan kita bacakan dan mengajaknya mengikut membacanya setiap kali ingin memasuki tandas. Begitu juga dengan doa sebelum tidur.

Mengajar anak-anak kita menghafal doa sebenarnya jauh lebih mudah kerana aktiviti itu kita akan lakukan setiap hari. Setiap hari kita akan makan, minum, masuk ke bilik air dan tidur. Maka adalah amat baik sekiranya para ibu bapa cuba mengamalkan mengajar anak membaca doa setiap kali sebelum melakukan sesuatu pekerjaan itu. Tidak perlu untuk berniat untuk anak kita cepat menghafal kerana seandainya kita jadikan ia rutin dan amalan, anak-anak kita akan menghafalnya dengan sendirinya.

Pendidikan bermula dari rumah dan ibu bapalah yang bertugas mencorak anak-anak mereka. Insya Allah, semoga anak-anak kita terdorong untuk menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. dengan bermulanya dari rumah. Begitu juga dengan kita para ibu bapa. Jangan lupa untuk sentiasa amalkan doa-doa seharian walau di mana jua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge