Anak Adalah Cerminan Ibu dan Bapanya

By | 02/10/2013
Sumber gambar : http://www.lutherwood.ca/mentalhealth/services/child-parent-place
Apabila lahirnya seorang bayi ke dunia daripada dunia rahim yang telah menjadi rumahnya sebelum dilahirkan, Allah telah menjadikan seorang bayi itu boleh melihat, mendengar, menghidu ataupun merasa apa sahaja yang berada di sekelilingnya. Berbeza daripada dunia gelap bayi sewaktu berada di dalam kandungan ibunya. Ini boleh dibuktikan apabila sejak bayi lahir lagi, seorang bayi perlu diazan dan diiqamatkan dengan kalimah iman kepada Allah dan Rasulullah S.A.W bagi mengembalikan fitrah seorang hamba Allah itu kepada pencipta-Nya dan Rasul-Nya. Ini menunjukkan bahawa seorang bayi itu boleh mendengar, hatta disarankan agar diperdengarkannya dengan laungan azan dan iqamat. Bermulanya saat bayi dilahirkan, bayi boleh menyerap apa yang didengarinya dan menyimpannya di dalam memori. 
Maka ibu bapa boleh menggunakan deria pendengaran bayi ini bagi merangsang bayi sejak lahir. Adalah sangat baik jika ibu bapa dapat selalu memperdengarkan bayi mereka dengan alunan suci ayat-ayat Al-Quran kerana ia bagaikan ‘muzik’ yang dapat diserap otak bayi dan sekiranya diulang-ulang ayat-ayat Al-Quran yang sama, bayi anda akan mudah menghafal ayat-ayat Al-Quran apabila usianya menjengah 2-3 tahun. Sama seperti anak-anak yang selalu menonton rancangan kartun Wonderpets, Doraemon atau BoboiBoy, tentu mereka dengan mudah dapat menyebut atau menyanyikan semula lagu-lagu kartun tersebut apabila kita cuba merangsang anak kita dengan bertanya? “Apaaa yang penting?”. Saya yakin semua anak-anak yang pernah menonton Wonderpets boleh menyambungnya. Lucu bukan?
Usia 0-5 tahun perkembangan bayi dan anak adalah amat penting kerana pada ketika itu, otaknya berkembang dengan amat pesat dan pada umur itu, otaknya diibaratkan sebagai span yang boleh menyerap air. Oleh kerana itu, pada usia anak 2-3 tahun, kita mudah melihat anak itu memimikkan perbuatan dan percakapan ibu bapanya kerana apa yang mereka lihat dan dengar sebelumnya dipraktikkan kembali. 
Suatu hari ketika saya membawa anak bersama saya dan suami ke masjid untuk menunaikan solat sunat Terawih secara berjemaah, pada ketika itu anak saya baru berusia setahun. Selalunya, bayi saya akan menarik perhatian kanak-kanak lain yang turut hadir ke ruang perkarangan solat masjid bahagian muslimat kerana bayi saya suka mendekati kanak-kanak yang lebih tua daripadanya dan selalu ingin berkawan atau melihat apa yang dilakukan kanak-kanak lain terutamanya apabila mereka berada di dalam kumpulan. Tambahan lagi apabila bayi saya tidak takut dengan orang yang asing (bunyi seperti agak bahaya). Di kalangan kanak-kanak itu, ada seorang kanak-kanak berusia lingkungan 4 tahun yang saya lihat agak agresif dan suka menjerit. Saya lihat dia suka mengejar kanak-kanak lain dan mengacau barang orang lain. Kelihatan seperti dia datang bersama keluarganya atau mungkin dia telah kenal dengan kanak-kanak lain di situ. Mungkin mereka berasal dari kejiranan yang sama. Yang mengejut dan membimbangkan saya, kanak-kanak ini suka memukul kanak-kanak lain yang lebih kecil daripadanya yang mungkin adiknya, saya tidak tahu. Saya terkejut dan melihatkan keadaan itu, saya sentiasa berada di sisi anak saya dan memantau pergerakan anak saya sepanjang masa sambil berjaga-jaga agar kanak-kanak itu tidak mendekati anak saya. Persoalannya, dari manakah kanak-kanak ini belajar memukul kanak-kanak lain yang lebih kecil? Dari manakah dia belajar menjerit dan memarahi kanak-kanak lain? Mengapakah dia seorang yang agresif jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain?
Setiap bayi yang lahir adalah ibarat kain yang putih. Takkan mungkin kanak-kanak agresif tadi yang lahir dalam keadaan suci bersih, secara tiba-tiba membesar menjadi seorang yang nakal, suka memukul dan ganas? Sudah tentu setiap perbuatannya dipelajari daripada apa yang pernah dilihatnya. Mungkinkah ibu bapanya selalu suka memukul dan mengherdiknya? Mungkinkah pengasuhnya? Guru tadikanya? Mungkinkah di tempat tinggalnya dia selalu lihat ibu bapa lain yang selalu memarahi dan memukul kanak-kanak lain? 
Amat sayang apabila melihatkan perkara ini berlaku kepada generasi baru kita. Sebagai seorang ibu, saya berasa kesal dengan masyarakat yang membentuk anak-anak mereka berakhlak negatif seperti ini. Jangan salahkan anak itu apabila kelak mereka melawan kata-kata ibu bapa pula. Salahkan ibu bapa yang sejak awal lagi telah menunjukkan contoh yang tidak baik terhadap anak-anak mereka. 
Sekiranya pendidikan dan aura positif yang ibu bapa tanamkan atau tunjukkan kepada anak-anak setiap hari, maka positiflah sifat anak-anak pada kemudian hari. Sekiranya negatif maka negatiflah anak-anak itu nanti dan kita dapat melihat dengan ketara apabila anak mudah menjerit, menangis dan menimbulkan masalah bagi mendapatkan perhatian ibu dan bapanya. 
Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa anak-anak yang berusia bawah 7 tahun, mereka perlu diberikan kasih sayang dan bermainlah dengan mereka serta beri perhatian lah kepada mereka. Pada usia ini, anak-anak perlu rasa disayangi dan sentiasa diberi galakan agar anak dapat membesar dalam keadaan positif, membina karakter dan meningkatkan daya keyakinan di dalam diri mereka. Mereka perlu banyak bermain kerana daripada bermain, ia dapat mengaktifkan kreativiti otak anak dan memberi keindahan dalam dunia kanak-kanak agar penuh dengan keriangan dan kegembiraan. Seorang bayi yang genius sebenarnya diukur dengan kebolehannya berfikir, kreatif dan berkebolehan belajar dari pelbagai sumber. 
Berikan peluang dan ruang untuk anak-anak belajar dan meneroka. Wujudkan ruang persekitaran yang sentiasa positif dan gembira agar anak-anak dapat membesar dengan baik dan berkembang minda serta personalitinya. 
Begitulah serba sedikit perkongsian saya tentang anak adalah cerminan ibu dan bapanya. Seperti kata pepatah inggeris, “What You Give, You Get Back”. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Apatah lagi apabila anak telah besar panjang, masa yang telah berlalu itu tidak mungkin dapat kita putar kembali. Jadi, bersikap prihatinlah mulai sekarang dan serius dalam mendidik anak-anak kerana anak-anak adalah tanggungjawab dan amanah ibu dan bapanya. Peringatan buat saya juga.
Semoga bermanfaat. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge