9 Jenis Makanan Untuk Anak Yang Lebih Bijak

By | 08/10/2013
Setiap ibu bapa tentunya ingin melihat anak-anak mereka cemerlang di sekolah dan di dalam pembelajaran. Antara usaha yang boleh dilakukan ibu bapa adalah dengan memastikan anak-anak mereka sentiasa memperoleh makanan seimbang dan memberikan makanan bernutrisi kepada mereka setiap hari. Lebih-lebih lagi, kanak-kanak kini mempunyai pelbagai aktiviti yang padat dan mereka sentiasa memerlukan tenaga untuk belajar dan kekal aktif dan sihat.
Ahli nutrisi telah menganjurkan supaya ibu bapa memilih beberapa jenis makanan bernutrisi yang dapat membantu dalam perkembangan dan pertumbuhan optimum otak anak-anak mereka. Terdapat beberapa jenis makanan yang telah diketahui dapat membantu perkembangan otak pada usia pertumbuhan bayi dan kanak-kanak, sekaligus dapat memperbaiki fungsi, daya ingatan serta konsentrasi kanak-kanak. 
Di sini disenaraikan 9 jenis makanan yang dapat membantu pertumbuhan dan perkembangan fungsi otak anak :
1. Ikan
Pilih ikan yang mengandungi lemak Omega 3 yang bermanfaat seperti ikan salmon. Ikan ini merupakan sumber terbaik kepada lemak Omega 3 yang penting untuk pertumbuhan otak anak. Telah terdapat kajian yang menunjukkan bahawa mereka yang gemar memakan ikan yang mengandungi lemak Omega 3, memiliki pemikiran yang lebih tajam dan mempunyai kemampuan mental yang lebih baik di dalam ujian-ujian yang pernah dilakukan ke atas mereka. 
2. Telur
Telur merupakan sumber protein yang mudah diperolehi di samping harganya yang murah. Kuning telur mengandungi kolin yang dapat membantu perkembangan otak. Telur yang mudah dimasak ini boleh dijadikan rutin menu sarapan atau makan malam yang dimasak dengan telur. 
3. Kacang
Kacang kaya dengan Vitamin E dan merupakan anti-oksidan yang dapat membantu melindungi sel-sel membran otak daripada radikal bebas. Antara kacang yang terbaik adalah kacang macademia dan almond. 
4. Sayur-sayuran berwarna
Sayuran berwarna seperti lobak merah, tomato dan bayam adalah makanan yang kaya dengan anti-oksidan dan dapat meningkatkan kesihatan membran sel. Sayuran yang segar dan cerah warnanya mempunyai kandungan anti-oksidan yang lebih tinggi. Selain itu, sayuran jenis ini juga bermanfaat untuk mencegah kanser.
5. Oat dan Oatmeal
Oat merupakan mengandungi karbohidrat yang terbaik untuk dijadikan sarapan anak-anak setiap hari. Malah ia adalah sesuai kerana amat digemari anak-anak. Karbohidrat yang terdapat di dalam oat akan diserap oleh oitak anak ketiak proses pembelajaran di sekolah. Oat juga kaya dengan Vitamin E, B, potassium dan zink yang dapat membantu mengoptimumkan fungsi otak. 
6. Buah-buahan beri
Buah-buahan beri seperti strawberi, blueberi dan blackberi adalah kaya dengan zat anti-oksidan seperti Vitamin C. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa buah-buahan beri dapat memperbaiki daya ingatan seseorang.
7. Kacang hijau
Kacang hijau adalah tinggi dengan protein, karbohidrat kompleks, vitamin C, asid folate, zat besi, zink, potassium, magnesium, mangan, fosfor dan tiamin yang kesemuanya adalah penting dan baik untuk tubuh serta perkembangan otak. Oleh kerana nutrisinya yang sangat lengkap, maka ia adalah sangat digalakkan untuk diambil oleh kanak-kanak. 
8. Susu dan yogurt
Produk susu yang mempunyai yogurt adalah makanan yang kaya protein, vitamin D dan vitamin B yang penting untuk pertumbuhan otak, sebagai transmitter neuro dan bertindak sebagai enzim yang baik untuk pencernaan makanan. Ia mudah dicerna dan mempunyai probiotik atau bakteria sihat yang dapat membantu menyihatkan usus. 
9. Daging merah
Daging merah merupakan sumber zat besi yang membantu memberikan tenaga kepada anak dan meningkatkan konsentrasinya di sekolah. Ia juga mengandungi zink yang boleh membantu memelihara daya ingatan kanak-kanak. 
Sumber fakta : Majalah Health and Fit
Demikian 9 jenis makanan yang baik untuk kesihatan dan perkembangan otak kanak-kanak. Semoga ia dapat menjadi panduan dan tips kepada ibu bapa yang tercari-cari makanan bernutrisi yang baik untuk meningkatkan kemampuan otak anak-anak. Di samping itu, amalkanlah mengambil makanan sunnah seperti madu, buah tin, zaitun, black seed atau habatussauda’, kurma, kismis dan air zam zam agar anak-anak dapat memperoleh zat-zat yang baik daripadanya dan lebih sukar mendapat penyakit. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge